Thursday, August 11, 2011

cara-cara memuhasabah diri

1) Melakukannya secara rutin

Memuhasabah diri perlu dianggap penting. Seorang pelajar misalnya, akan pasti menelaah pelajaran terutama bila dekat dengan waktu peperiksaan. Mana mungkin sanggup ke dewan peperiksaan tanpa bersedia apa-apa.

Begitu juga halnya dengan muhasabah. Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Bila dan di mana, hanya Dia yang Mengetahui. Justeru, hendaklah Muslim itu selalu bersedia, mengetahui kekurangan dirinya, dosanya dan memperbaiki diri selagi boleh.

Kata Ibn Qayyim ra; “Hal yang paling bermanfaat bagi seseorang ialah ia duduk sesaat ketika hendak tidur. Ia lakukan muhasabah atas keuntungan dan kerugian dirinya pada hari itu. Lalu ia perbaharui taubatnya dengan nasuhah kepada Allah, lantas tidur dalam keadaan bertaubat dan bertekad tidak mengerjakan dosa yang sama ketika ia telah bangun. Itu ia kerjakan setiap malam. Jika ia meninggal pada malam tersebut dalam keadaan seperti itu, ia meninggal dalam keadaan bertaubat. Jika ia bangun, ia bangun dalam keadaan siap beramal, senang ajalnya ditunda, dan siap mengerjakan perbuatan-perbuatan yang belum ia kerjakan.”

Bila membaca sarana dari Ibn Qayyim, saya terkelu. Sering sahaja tidur begitu sahaja tanpa sempat membaca doa apatah lagi memuhasabah diri. Astaghfirullahal’azim. Masih lagi Dia membenarkan saya bernafas. IA, semoga hari ini lebih baik dari hari semalam.

2. Prioriti dalam Muhasabah

Perkara pertama yang perlu ia muhasabah ialah kesihatan akidahnya, kebersihan tauhidnya dari syirik kecil dan tersembunyi.

Perkara kedua adalah memuhasabah diri atas perlaksanaan kewajiban. Solat lima waktu berjemaah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung hubungan kekerabatan, amar makruf dan nahi munkar.

Seterusnya ia juga memuhasabah tentang sejauh mana ia menjauhi hal-hal haram dan kemungkaran baik yang kecil mahupun besar.

Lalu ia memuhasabah diri tentang sejauh mana ia mengerjakan ibadah-ibadah sunat dan ketaatan lainnya.

3. Jenis-jenis Muhasabah

Kata Ibn Qayyim, muhasabah terbahagi kepada dua;

a. Muhasabah sebelum berbuat

Seseorang yang telah berazam ingin melakukan sesuatu dan sedar ia perlu melakukannya, perlu mendapat kejelasan bahawa azamnya itu harus ia kerjakan.

b. Muhasabah setelah berbuat

Ia terbahagi kepada tiga bahagian;

Muhasabah diri terhadap ketaatan kepada Allah yang telah ia lalaikan. Contohnya, bagaimana solat fardhunya pada hari itu? Adakah dia mengerjakannya dengan baik, tepat pada waktunya, penuh kekhusyukan atau tidak?

Muhasabah terhadap perbuatan yang lebih baik tidak dikerjakan daripada ia kerjakan. Contohnya, menonton televisyen. Ah, perlukah ia melakukannya? Rancangan apakah yang ia tonton? Bermanfaatkah baginya di hari akhirat kelak?

Muhasabah diri atas hal-hal mubah dan wajar; kenapa ia mengerjakannya? Apakah ia mengerjakannya kerana menginginkan Allah dan akhirat? Ataukah ia mengerjakannya kerana menginginkan dunia? Contohnya adalah membantu dalam gotong royong; adakah dia mahu dipuji ataukah di melakukannya dengan ikhlas? Muhasabah yang ketiga ini mengajak untuk sama-sama membetulkan niat iA.

Memuhasabah diri setiap hari adalah sangat penting. Para salafus soleh sangat peduli tentang waktu mereka lebih dari kepedulian mereka tentang wang.

IA, dengan melakukannya, moga hisab kita dipermudahkan di akhirat kelak. Hari di mana segala perbuatan yang kita kerjakan, yang kecil mahupun yang besar, yang terang mahupun yang nyata semuanya dibentang di depan mata dan tidak ada satupun yang tertinggal.

“Orang mukmin itu pengelola atas dirinya sendiri. Ia menghisab dirinya atas ketaatannya kepada Allah taala. Hisab sebahagian orang dipermudah pada hari Kiamat kerana mereka memuhasabah diri mereka di dunia dan hisab sebahagian orang dipersulit kerana mereka mengerjakan banyak hal tanpa muhasabah,”
(Hassan al Basri)

Sumber: Tarbiyah Dzatiyah karangan Abdullah b Abdul Aziz al-Aidan